biru  hijau  merah
A- A A+

Lawatan Kerja Rasmi YB Menteri Wilayah Persekutuan Dan YB Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Ke Labuan

04102021 lawatan ke Labuan

Berita Terkini:

LABUAN, 2 Oktober – YB Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan dan YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Labuan selama 2 hari untuk meninjau kesemua prospek pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Labuan. Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah YBhg. Datuk Seri Rosidah binti Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang disambut oleh YB Senator Datuk Haji Bashir bin Alias, Ahli Dewan Negara, YBhg. Dato’ Sri Hj. Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan dan YBrs. Dr. Fary Akmal bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Sejurus tiba, YB Menteri dibawa melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Balai Bomba Rancha-rancha. Kejadian hujan lebat yang turun dari malam tadi hingga ke pagi telah menyebabkan banjir di Kampung Rancha-rancha Darat melibatkan 8 buah rumah dan 43 orang penduduk kampung di situ.

Seterusnya YB Menteri melakukan lawatan turun padang (TUPA) projek Jambatan Labuan – Sabah. Menyentuh akan status perkembangan projek ini, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat tawaran secara Request for Proposal (RFP) bagi Cadangan Pembinaan Jambatan Labuan-Sabah secara Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership-PPP). Iklan tersebut telah menarik minat pelbagai syarikat swasta untuk menyertai RFP dan membeli dokumen RFP.

Beliau juga memaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Induk 1 pada 24 Ogos 2021 telah mempertimbangkan permohonan 2 syarikat berkaitan pelanjutan RFP dan mesyuarat bersetuju tarikh tutup RFP yang tamat pada 30 Ogos 2021 dilanjutkan sehingga 1 November 2021. Pelanjutan ini terpakai kepada semua syarikat yang menyertai RFP. Selain daripada pembangunan jambatan, terdapat keperluan-keperluan yang perlu diambilkira seperti pembangunan CIQ baharu serta kajian-kajian teknikal melibatkan trafik darat dan marin, kajian EIA, hidraulik dan sebagainya yang turut terkandung di dalam RFP tersebut.

Program lawatan kerja hari pertama diteruskan lagi dengan lawatan ke Pusat Program Vaksinasi (PPV) di Kompleks Darul Kifayah, MAIWP. Ketika ini Labuan sedang melaksanakan program vaksinasi untuk golongan remaja (12 – 17 tahun) merangkumi 12 buah sekolah menengah dan 18 buah sekolah rendah di seluruh Labuan. Program vaksinasi untuk remaja ini telah bermula pada 11 September 2021 dan dijangka selesai sepenuhnya pada 17 Oktober 2021.

Setelah itu, YB Menteri turut dibawa melawat 3 buah keluarga pelajar yang menjadi anak yatim kerana kehilangan ibu bapa akibat COVID-19. 3 buah keluarga ini adalah sebahagian daripada 36 buah keluarga yang telah dikenalpasti oleh PL dan Jabatan Pendidikan melibatkan seramai 56 orang pelajar yang mereka kini adalah anak-anak yatim. Beliau telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap pelajar dan bantuan bakul makanan. Peruntukan sumbangan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM56,000.00 secara simbolik telah diserahkan kepada En. Yusup bin Haji Mohamad, Pengarah Pendidikan Labuan. Selain penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, beliau juga melawat dan menyantuni pelajar autisme di Labuan Autism Care Centre, Jalan Tanjung Batu dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM31,000.00 kepada 31 orang pelajar yang mana diterima secara simbolik oleh En. Shafry Mohd. Sharif, Pengarah Labuan Autism Care Centre. Semua sumbangan wang tunai disalurkan terus ke akaun para pelajar. Peruntukan wang tunai ini adalah hasil sumbangan daripada Kelab Agama Kementerian Kewangan Malaysia, syarikat swasta dan badan korporat. YB Menteri merakamkan ucapan penghargaan kepada para penyumbang yang budiman.

YB Menteri juga mengisi diari TUPA hari pertama di Labuan dengan lawatan ke salah satu geotapak Geopark Labuan di pantai Jalan Tanjung Batu. Geotapak di Tanjung Batu merupakan salah satu produk geopark yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Mineral Geosains Malaysia. Tapak ini mempunyai ciri geomorfologi paling unik iaitu berbentuk tafoni di atas permukaan lapisan batuan formasi Belait. Tafoni adalah bentuk permukaan batuan yang tidak licin seperti bentuk otak manusia. Geotapak di kawasan Tanjung Batu mempunyai tahap nilai warisan peringkat tempatan hingga kebangsaan.

Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 23 Disember 2020 lalu, Program Penilaian Tapak Geopark Kebangsaan bagi Geopark Labuan dijangka akan dilaksanakan pada November 2021 ini. Dengan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangasaan, ini dapat menarik pelancong khususnya para pengkaji dan peminat aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

YB Menteri mengakhiri program rasmi TUPA hari pertama dengan merasmikan Taman Muhibbah, Jalan Tun Mustapha. Taman Muhibbah atau dikenali penduduk tempatan sebagai Taman Rusa merupakan salah satu pocket garden yang telah lama dibina bagi menjadi tarikan penduduk setempat serta ruang riadah dan ruang perdagangan pada hujung minggu bagi para peniaga kecil. PL telah mentransformasikan salah satu pocket garden sedia ada ini kepada Art Street Labuan.

Antara binaan yang diperkenalkan adalah binaan struktur besi, yang berkonsepkan arca love, arca rusa dan arca bingkai gambar Instagram. Selain itu, lukisan mural berkonsepkan abstrak dengan pelbagai warna di sebahagian laluan pejalan kaki bertujuan untuk memberi impak keceriaan dan keindahan kemasan lantai sedia ada. Turut dibaikpulih semula ialah landskap kejur sedia ada termasuklah pembaikan lantai, gelegar, mengecat dan penggantian genting bagi binaan gazebo, pergola, pasu bunga, serta air pancutan. Konsep pencahayaan lampu hiasan jenis LED yang pelbagai melengkapkan transformasi dan keindahan taman pada waktu malam yang menjadikan keseluruhan konsep binaan berfungsi lebih baik untuk dinikmati oleh masyarakat terutamanya generasi moden.

YB Menteri menurunkan tandatangan di plak perasmian Taman Muhibbah sebagai simbolik taman ini telah dibuka secara percuma kepada para pengunjung. Penaiktarafan Taman Muhibbah ini menjadi produk pelancongan dalam bandar dan memberikan kemudahan yang kondusif untuk aktiviti perniagaan dan seni jalanan.

Menerusi lawatan kerja YB Menteri dan YB Timbalan Menteri ini menzahirkan keprihatinan terhadap usaha Kerajaan membangunkan Labuan untuk terus dimajukan dari segi ekonomi dan taraf hidup rakyat yang bersendikan inisiatif Keluarga Malaysia yang memberikan Kemakmuran Bersama kepada rakyat Labuan.

.