biru  hijau  merah
A- A A+

YB Menteri dan YB Timbalan Wilayah Persekutuan Merasmikan Program Penanaman 1 Juta Pokok Wilayah Persekutuan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Pada 3 Oktober 2021

04102021 Program Penanaman 1 Juta Pokok Wilayah Persekutuan

Berita Terkini:

LABUAN, 3 Oktober 2021 – YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Bin Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM250,000.00 untuk program penanaman pokok di WP Labuan. Beliau berucap demikian sempena merasmikan Program Penanaman 1 Juta Pokok Wilayah Persekutuan Peringkat WP Labuan pada hari ini di Kampung Nagalang / Kerupang, WP Labuan. Beliau memaklumkan bahawa Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air telah meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000.00 di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GERAK) bagi Inisiatif Meningkatkan Kawasan Hutan Paya Bakau dan Hutan Paya Laut di WP Labuan. Dengan peruntukan tambahan ini, beliau berharap Labuan akan dapat menanam lebih 100,000 pokok di Labuan dalam tempoh 5 tahun. Program Penanaman 1 Juta Pokok Wilayah Persekutuan ini dilaksanakan bersama Kuala Lumpur yang menanam 500,000 pokok dan Putrajaya sebanyak 400,000 pokok dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1 juta pokok. Ini selaras dengan kempen penghijauan Malaysia dengan tema Wilayah Hijau, Wilayah Bestari melalui konsep pembangunan Hutan Bandar (Urban Forest) dan Pembungaan Bandar (Flowering City).

YB Menteri juga meminta para aktivis dan NGO untuk turut sama menjayakan kempen menanam pokok ini. Beliau turut menyeru rakyat untuk menghargai nilai tambah pada masa hadapan khasnya dari sudut ekonomi yang diperkembangkan daripada sebatang pokok yang ditanam pada hari ini. Nilai hidup sebatang pokok yang berusia ratusan tahun lebih tinggi berbanding apabila ia ditebang dan dijual. Nilai hidup pokok itu dapat menghasilkan sumber ekonomi yang dikembangkan melalui program penyelidikan, perubatan, pendidikan, sejarah, ekosistem dan aktiviti pelancongan serta kebudayaan.

Di majlis itu tadi, YB Menteri telah menanam pokok bakau minyak (Rhizophora Apiculata) bersama-sama dengan YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang menanam pokok bakau kurap (Rhizophora Mucronata). Hadir sama YBhg Datuk Seri Hajah Rosida binti Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, YB Senator Datuk Haji Bashir bin Haji Alias, Ahli Dewan Negara, YBhg Dato’ Sri Haji Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan dan YBrs. Dr. Fary Akmal binti Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Program Penanaman 1 Juta Pokok ini adalah pengisian hari kedua program lawatan turun padang (TUPA) YB Menteri dan YB Timbalan Menteri ke Labuan. Sebelum YB Menteri dan delegasi bertolak balik ke Kuala Lumpur, beliau telah singgah ke Kampung Patau-patau No. 1 untuk melihat cadangan projek menaiktaraf dan membaikpulih jambatan di kampung itu yang mana PL telah membuat permohonan di bawah Permohonan Projek Baharu Rolling Plan ke-2 (RP2, 2022) RMK-12 dengan kos dianggarkan sebanyak RM5.5juta. Beliau juga dibawa ke tempat baik pulih enjin sangkut dan pengusaha bot pelancong serta aktiviti tanaman fertigasi yang dijalankan oleh penduduk di kampung air itu.

Lawatan TUPA YB Menteri dan YB Timbalan Menteri pada kali ini mencerminkan keprihatinan berlandaskan inisiatif Keluarga Malaysia dengan harapan untuk melihat rakyat di Labuan bergerak maju membangunkan taraf hidup dan ekonomi seiring malah mendepani cabaran semasa. Profil Labuan yang suatu ketika dahulu pernah menggamit populariti sebagai destinasi bebas cukai dijadikan sebagai pemangkin dengan menambah baik dan menggandakan kualiti perkhidmatan serta aspek tarikan pelabur yang berstandard tinggi dan bertaraf antarabangsa.

.