biru  hijau  merah
A- A A+

Kios Usahawan Anak Muda Kota Di Central Business District (CDB) Kuala Lumpur

13102021 Kios Usahawan Anak Muda Kota Di Central Business District CDB

Berita Terkini

KIOS USAHAWAN ANAK MUDA KOTA DI CENTRAL BUSINESS DISTRICT (CBD) KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2021– Dalam usaha untuk membantu golongan rentan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kios Usahawan Anak Muda Kota di lokasi yang lebih strategik dengan mengaplikasi persekitaran tapak niaga yang berkonsepkan hipster di Central Business District (CBD).

YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Bin Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan percaya usaha ini adalah selaras dengan matlamat Kementerian untuk merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kios CBD yang ditempatkan berhadapan Menara DBKL 3, Jalan Abdullah dan Jalan Tun Tan Cheng Lock ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat terutamanya di kalangan golongan muda yang sentiasa tertarik dengan konsep trendy pada masa kini.

Sebagai inisiatif untuk membantu usahawan di lokasi ini, Kementerian melalui DBKL telah memberikan pengurangan harga sewaan kios sebanyak 50% pada tahun pertama beroperasi. Sehingga September 2021, seramai 2,268 orang calon telah mendaftar dan 126 orang usahawan telah memulakan operasi kios-kios dan ruang niaga di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pihak Kementerian juga memberi kemudahan dalam bentuk pemberian lesen perniagaan, pembiayaan perniagaan, pemasaran produk dan khidmat nasihat perniagaan serta latihan keusahawanan bagi mengalakkan penyertaan daripada golongan belia untuk menyertai program ini. Kementerian mensasarkan untuk menyediakan 1,000 kiosk dan ruang niaga pada tahun 2020 sehingga tahun 2023. 

Selain itu, bagi merancakkan aktiviti syurga makanan di sepanjang Jalan Raja Muda Musa di Kampung Bharu, YB Menteri Wilayah Persekutuan mengumumkan satu Projek Perkongsian Ruang (Shared Space) yang akan dilaksanakan pada awal tahun 2022. Projek yang dijangka siap selewatnya pada awal tahun 2023 ini, akan menjadi pemangkin pertumbuhan produk pelancongan di Kampong Bharu disamping menanggani isu seperti kesesakan lalulintas dan kebersihan khususnya di Jalan Raja Muda Musa. Kementerian berharap pelaksanaan program dan projek yang teratur dan berkesan seumpama ini dijangka berupaya memberikan impak yang positif dalam usaha merancakkan kembali ekonomi serta menangani masalah kemiskinan di kalangan “Keluarga Malaysia” yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

 

 

.